Tuesday, May 17, 2011

Kain Kecil Di Wajahmu [Part 2]

“ Untuk kali keberapa, ana masih nak tanyakan enti, enti tahu kan hukumnya? Sebelum enti menghinakan mereka yang berpurdah? Rozita yang ana kenal takkan mudah berputus asa dengan cacian orang, kan? Enti pun tahu kan, ana sudah menjelaskan, bukan semuanya memakai kerana memahami hukum. Enti pun tahu kan tujuan ana menulis novel Kain Kecil Di Wajahmu, adalah untuk menerangkan pada adik-adik tentang hukum berpurdah ni, sabarlah, lambat laun, mereka akan faham. Ana tahu ramai sangat yang tak faham lagi hukumnya dalam Islam. Ana pun memerlukan kajian bertahun-tahun. Ada juga yang memakainya kerana malu pada lelaki. Enti pun faham kan perasaan tu. Ia fitrah dan ia baik, memudahkan lelaki menjaga pandangan. Bukankah Islam menuntut lelaki dan perempuan agar menjaga pandangannya seperti dalam Surah an-Nur ayat 30 dan 31?, ”

Rozita terdiam. Dia teringat macam mana setiap kali meeting dia selalu menundukkan kepala dan kadang-kadang berselindung di belakang Sumayyah kerana malu yang begitu menebal pada kaum lelaki. Dia sedar bahawa dirinya banyak terpengaruh dengan kata-kata muslimin. Tapi, Rozita masih merasakan sakitnya panahan kata-kata Azrol dalam meeting tadi, macam benar.

“Azrol kata, purdah ni cuma adat sahaja.” Rozita cuba mengingat kembali hujah Azrol.

“Azrol tu siapa? Azrol mana, Ita? Sumayyah cuba menguji.

“Azrol la, mana ada Azrol lain, pelajar tahun tiga Engineering. Enti pun kenal, kan ana selalu menyebut namanya. Katanya, Muslimat ni tak perlu berpurdah dalam organisasi, purdah ni adat sahaja.”

Sumayyah menggeleng perlahan. “ Subhanallah, Maha Suci Allah. Maaflah jika ana katakan begini. Azrol tu kan ana kenal sangat. Mana pulak adat. Azrol tu baru menyertai usrah kita semester ni. Semester ni ustaz baru kupas buku Fiqh Sirah 1, buku Fiqh sirah 2 belum lagi ustaz kupaskan dalam usrah. Yang ustaz kupaskan dalam usrah MT yelah Fiqh sirah 2 termasuk. Tapi untuk exco kan baru Fiqh sirah 1. Mereka kan masih baru menyertai usrah. Azrol tu kan memandai je…Astaghfirullahal’azim, bukan ana nak mengumpat, Ita. Tapi, enti nak terima hujah seseorang perlu menilai juga pandangannya dan pengamalannya selama ini terhadap hukum-hukum dalam Islam. Azrol cukup tidak suka muslimat yang berpurdah. Dia sudah terdidik dengan pemikiran Barat. Ibunya bertudung selempang, bapanya mementingkan akademik anaknya dan tidak mementingkan agama mereka adik-beradik. Ana kan sekampung dengannya. Azrol bukan dari sekolah agama, dan Azrol bukan pelajar pengajian Islam. Oleh itu, Azrol tidak tahu tentang hukum berpurdah. Dia hanya dengar-dengar je dan buat kesimpulan, mengkaji jauh sekali. Azrol pernah buat tesis atau kajian tentang purdah ke? Bila ye, ada kajiannya? Boleh tunjukkan pada ana.”

“Tapi, Azrol ada hujah yang kuat,”

“ Apa hujahnya?”

“ Pendakwah tidak boleh menutup muka, ia mengganggu dakwah,”

“ Itu bukan hujah, itu pendapat,”

“ Pendapat peribadi, tanpa sokongan dalil tidak boleh dijadikan hujah dalam Islam,” Sumayyah menjelaskan tegas.

” Ia membuatkan mad’u lari daripada kita,”

“Dan tidak ada kewajipan bagi mana-mana perempuan untuk mentaati perintah yang tidak ada asasnya dalam Islam, jelasnya ana sendiri yang menyusun bahagian tarbiyah. Enti tahukan kebanyakan adik-adik yang pergi usrah yang dibawa oleh naqibah yang berpurdah. Yang tidak berpurdah pula yang kurang anak usrahnya. Ia bergantung kepada komitmen dan kekreativitian naqibah sebenarnya, enti pun tahu sejarah Kelab Amar Ma’ruf, kan sudah bertahun-tahun kita di sini semenjak diploma. Bukan kerana purdah orang lari tapi kerana Islam itu sendiri yang ditakutinya. Mana ada orang suka benda baik, Ita. Kenapa ye, yang lain-lain tidak berdakwah dengan lebih bersemangat kalaulah muka mereka itu digunakan untuk berdakwah, sepatutnya lebih ramai yang berjaya ditarik ke dalam usrah. Ana tengok sama sahaja. Boleh ke kita salahkan hukum Islam jika orang lari dari kita? Dulu bertudung labuh pun dapat spekulasi yang sama, bertudung hitam pun sama, sekarang bila dah ramai berpurdah, yang berpurdah pula dituduh orang lari. Tiba-tiba sahaja, yang bertudung labuh orang tak lari pula? Pelik tu. Masyarakat yang belum mengubah cara berfikir, masih kolot dan jumud tentang islam, itu tujuannya usrah. Bukanlah dengan menanggalkan apa yang ada pada diri kita. Entahlah Ita, terpulang, ana secara peribadinya lebih selesa berdakwah dengan berpurdah. Di asrama kita bersama adik-adik perempuan dengan selesa. Di luar asrama kita berurusan dengan muslimin dalam keadaan terjaga. Ana lebih suka purdah ni dalam memelihara diri, jika tidak, nak bermesyuarat dengan muslimin pun ana malas. Ana pelik dan rimas kenapa mereka boleh pula melihat wajah kita semudahnya. Islam telah menyelamatkan ana, Allah mengurniakan kain kecil ini bagi memudahkan urusan organisasi kita,”

“Jelasnya, Azrol bukanlah ulama’ sehebat Ibnu Mas’ud, Ibnu Kathir, Ibnu Abbas, Syeikh Muhammad bin Salih bin Uthaimin dan lain-lain ulama’ kebanyakan ulama’ Syafi’iyyah. Adakah Azrol menyalahkan ulama’? Azrol bukan sahaja tidak tahu hukum berpurdah bahkan banyak lagi hukum tidak diketahuinya. Enti pernah test tanya dia hukum berwudhuk, hukum solat jamak dan qasar, hukum membeli barangan Israel dan Amerika, enti pernah tanya pada Azrol tentang pendapat ulama’ tentang solat bagi keempat-empat mazhab berlainan?”

“Enti ni, Azrol tu makan Mc’ Donalds lagi, tapi beria-ia mengatakan purdah tak perlu pakai kerana ulama’ kontemporari Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi menghukumkan begitu. Tapi, ada tak dia nak terima fatwa ulama’ yang sama yang mengatakan haram membeli produk Amerika dan Israel? Azrol, untuk pengetahuan enti seorang yang tak thiqah dan hanya mengambil hukum yang ia suka sahaja. Ya, yang selari dengan nafsu dan gaya hidup kebaratan yang telah didoktrinkan oleh yahudi dalam pemikirannya. Tak perlu jauh-jauh, Azrol tu bercouple lagi. Apa bercouple tu tak haram baginya?” Sumayyah mempersoalkan satu persatu hukum yang dia tahu merupakan bukan kepakaran Azrol.

“Tapi, Azrol bertanya pada pensyarahnya,”

“ Pensyarahnya yang dia rapat? Puan Zaitun ye?” Sumayyah menyoal dengan penuh kepastian.

Rozita mengangguk lemah.

“Puan Zaitun belajar di sekolah mana, Ta? Puan Zaitun pengkhususan apa? Puan Zaitun ambil degree dan master di mana dan apa bidang kajiannya? Puan Zaitun pakai macam mana di luar kolej? Apa hukum menutup aurat bagi Puan Zaitun? Pernah jumpa beliau di luar kolej tak? Boleh diringankan sampai ke tahap tu sekali? Allahuakbar! Ana bukan macam tu, Ita. Boleh ke kita tanya tentang akaun pada pelajar Qur’an Sunnah? Boleh ke dia jawab? Boleh kalau dia pernah belajar dan kaji tentang akaun sama ada di sekolah atau di peringkat universiti. Perlu ada bukti bahawa ia pernah mengkaji perkara ini. Jika Azrol berpendapat setakat meminjam pendapat Us Razali dalam blognya yang terkenal tanpa sebarang pengkajian lanjut nak suruh kita membuka purdah? Siapa dia untuk mempertikaikan al-Qur’an? Hmm…cuba kalau Azrol suka merujuk Us. Abu Zaki, Us. Saifullah , Us. Amzan, tentu lain pula pendapatnya. Merujuk tentang Akaun bolelah pada Puan Zaitun, ape pulak soal hukum merujuk Puan Zaitun? Hmm…ana kalau nak tanya akaun ana tak tanya ustaz Amzan, Ita. Itu bukan kepakarannya,” Sumayyah menggelengkan kepala. Dia faham benar betapa bersungguh-sungguhnya pelajar bukan pengajian Islam ni meletakkan hukum berpurdah mengikut nafsu dan kejahilan mereka.

“ Enti tak boleh la nak tunjuk hebat, sedangkan mereka muslimin kan tentu mereka lebih tahu,” Rozita cuba membela.

“ Ana tak tunjuk hebat, tapi kalau dah enti mempersoalkan hukum Allah, ana perlu pertahankan Islam yang ana anuti. Sepatutnya enti berkata begitu kepada Azrol kerana dia bercakap tentang sesuatu yang dia tidak mempunyai ilmu mengenainya. Muslimin, jika suka bermain game, suka buat perkara lagha, chatting dengan muslimat sana-sini, bercouple dan tidak menjaga thiqah, maafkan ana tapi ana tak respect langsung. Jika ilmu setakat di bibir bukan dicerminkan pada perlakuan, perlu ke kita hormat padanya? Dalam Surah as-Saff ayat 4 pun Allah mencela orang yang memperkatakan sesuatu yang ia tidak lakukan,” Sumayyah menjelaskan sikap buruk sesetengah Muslimin yang tidak boleh dipakai kata-katanya.

“ Ya, kita muslimat. Namun ini bukan soal ilmu muslimin atau muslimat. Sebelum Azrol mencadangkan pada Muslimat Kelab Amar Ma’ruf untuk menanggalkan purdah, Azrol perlu buka al-Qur’an untuk lihat hukum berpurdah yang telah ditetapkan oleh Allah. Azrol tidak boleh menghukum dengan pendapat peribadi. Ia mesti didasari ilmu, Azrol perlu membuat kajian sebelum ia memberi arahan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Ya, tidak ada kewajipan berpurdah bagi sesetengah ulama’ tapi tidak boleh menghalang wanita berpurdah, itu kan sudah fitrahnya, dan islam pula menggalakkan. Salah tu, memang salah menghalang orang memakai purdah, sama salahnya memaksa-maksa orang memakai purdah,” Sumayyah menjelaskan bagaimana dahulu ia mula mengkaji tentang purdah. “ Bukan soalnya wajib berpurdah, tapi soalnya, sebagai seorang yang beriman dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, beliau tidak perlu halang mana-mana wanita untuk berpurdah kerana Islam menyukainya,”

“ Adakah dalil dalam al-Qur’an membezakan pakaian orang yang berdakwah dan tidak berdakwah?” “ Adakah kewajipan berdakwah menggunakan muka?” “Apakah anggota lain tidak dapat membantu dakwah? Adakah kewajipan berdakwah begitu sekali hingga aurat perlu dibuka? Ana pun belajar uslub dakwah tapi tak ada pula menyentuh soal muka , tiada pula dalam ilmu methodologi dakwah yang mengatakan keberkesanan dakwah itu meningkat bagi wanita yang tidak memakai purdah berbanding yang berpurdah, yang tersenyum dan tidak tersenyum. Jika ini ada, maka bagaimana pula meningkatnya dosa seorang yang tidak berpurdah dan senyuman manisnya memikat ribuan lelaki dan mendatangkan fitnah jika dibandingkan dengan seorang wanita yang berpurdah? Berdakwah, berdakwah juga, tapi, hukum menutup aurat mana boleh kita permainkan. Kita masih boleh teruskan dakwah tanpa muka. Dakwah bukan menggunakan muka dan senyuman sahaja,”

“ Tapi, muka bukan aurat,”

“ Muka bukan aurat bagi sesetengah ulama’, tapi aurat bagi sesetengah ulama’. Jadi, bila ada ulama’ yang mengira muka sebagai aurat, Azrol tak bolehlah nak kata ulama’ tu tak betul..Muhammad bin Sirin dan Ubaidah al-Salmani tak betul, begitu? Oleh kerana hujah mereka (ulama’ yang mengatakan muka dan tangan aurat dan ulama’ yang mengatakan muka dan tangan bukan aurat) sama kuat bahkan dalam mazhab as-Syafi’e hujah wajib berpurdah lebih kuat, maka sekali lagi ana tekankan, tidak boleh bagi mana-mana lelaki menyuruh mana-mana kaum wanita membuka penutup mukanya sebagaimana Yahudi cuba hendak membuka purdah seorang wanita yang mencetuskan kemarahan kaum Muslimin dan terjadinya pergaduhan pertama antara kaum Muslimin dengan yahudi setelah dimeterai perjanjian di antara mereka dan Rasulullah s.a.w. Pertengkaran ini berlaku sebagaimana yang diceritakan oleh al-Tabari dan al-Waqidi ialah di pertengahan bulan Syawal tahun kedua Hijrah,” Sumayyah menegaskan.

“ Bila ada ulama’ yang menghukumkan wajib memakai purdah, maka, Azrol atau mana-mana manusia di dunia ini tidak boleh sama sekali menyuruh atau memerintahkan mana-mana perempuan untuk menanggalkan purdahnya, kerana ia termaktub di dalam hukum- WAJIB dan SUNAT. Tiada yang mengHARAM kan. Ulama’ mana pun tidak mengharamkan, jadi mana datang arahan membuka. Tiada ulama’ menyuruh wanita membuka wajahnya, Azrol siapa untuk menyuruh wanita membuka wajahnya, dan kitab mana yang menjadi rujukannya, bukankah kitab rujukan umat Islam adalah al-Qur’an,” Sumayyah menjelaskan panjang lebar.

“ Mana boleh Azrol menghukum sesuka hati dia, hanya berpandukan artikel dua-tiga tulisan ulama’ kontemporari dan ulama’ itu pun tidak mengkaji tentang purdah, dia pun sekadar mengambil hukum daripada tulisan ulama’ kontemporari juga. Mana boleh, Ita. Nak berhukum mesti rujuk al-Qur’an,”

“ Tapi, mana ada hukum berpurdah dalam al-Qur’an,” kata Rozita.

“ Ita, kalau tak ada dalam al-Qur’an, jadi , boleh ke kita buat hukum sendiri?” Sumayyah masih tidak letih mengingatkan sahabatnya. Dalam sepuluh kali dah soalan yang sama Ita ajukan dalam tahun ni sahaja. Semata-mata kerana beliau dihina, maka Ita mula rasa lemah dalam mempertahankan.

“ Habis, kalau tiada, maka boleh la berijtihad,” kata Rozita acuh tak acuh.

Sumayyah merenung gambar wanita berpurdah yang diletakkan di belakang failnya. Dia agak terluka mengingatkan pelajar-pelajar yang tidak mengkaji hukum termasuklah Rozita, dengan mudahnya meletakkan hukum berpurdah mengikut faham orang tak berilmu. Sumayyah faham bahawa sahabatnya mengambil jurusan kejururawatan.

“ Siapa kata tiada. Cuba enti tulis dalilnya dari al-Qur’an supaya enti tak mati hujah dalam penerangan kepada masyarakat. Terus sahaja berijtihad?” “ Enti ni Ita….” “ Enti, kita kena belajar dari A sampai Z kaedah penetapan hukum dalam Islam. Dari sumber-sumber hukum dalam Islam hinggalah kepada kaedah penetapan hukum. Bahaya jika enti membawa kaedah hukum yang enti faham ni kepada orang ramai. Enti pun jelas bahawa sistem pendidikan di Malaysia ni tidak mampu memanusiakan manusia. Ia hanya berlingkar pada perkara yang terlalu asas. Kemudian, bila pelajar-pelajar masuk universiti terus didedahkan dengan ilmu fardhu kifayah, sedangkan ilmu fardhu ain pun kita belum selesai lagi. Inilah kebobrokan sistem pendidikan di Negara kita. Pendidikan sepatutnya mendekatkan kita kepada Allah dan menjadikan kita takut pada-Nya dan mencintai-Nya, tapi, sistem di Negara kita salah cara dan oleh itu tidak dapat mencapai matlamat pendidikan dalam Islam. Jadilah, kita semua masyarakat yang jahil hingga ke tua. Ilmu agama perlu dicari di surau1 dan kelas pengajian tambahan pula bila dah tua. Sepatutnya penerapan ini berlaku ketika kecil.” Sumayyah menasihati Rozita, tegas dan jelas.

“ Betul lah jika ana katakan dalam al-Qur’an tiada hukum berpurdah?”

“ Ada,” Sumayyah menjawab ringkas.

“ Ye ke? Surah apa?”

“ Surah al-Ahzab dan Surah an-Nur,”

“ Ayat berapa?” Rozita mencatit bersemangat. Dia mula rasa bersalah kerana Sumayyah telah banyak kali menjelaskan padanya dan dia sering lupa nama surah yang menyebut tentang aurat wanita.

Surah an-Nur ayat 31, ayat 60. Surah al-Ahzab ayat 53, 55, 59.”

“Dalam surah ni ia sebut purdah ke? Apa purdah dalam bahasa Arab?”

“Dalam Surah al-Ahzab ayat ke-59. Dalam surah ni ia sebut “ jalabib” jalabib ini kita nak faham maksudnya perlu merujuk pada tafsir. Maksudnya, apa yang kit abaca dari al-Qur’an perlu kita fahami apa yang Allah nak sampaikan melalui tafsir. Ada ramai ulama’ yang memberi tafsiran yang berbeza untuk perkataan “ jalabib” ni. Ada yang kata kain yang menutup kepala dan leher dan ada yang berpendapat bahawa perkataan jalabib ni bermakna kain yang besar yang menutup kepala dan sekaligus wajahnya.Kecuali mata. Ada ulama’ yang berpendapat mata kiri yang perlu dibuka dan ada ulama’ yang berpendapat mata kanan yang perlu dibuka untuk melihat jalan. Kedua-duanya betul. Jadi, ulama’ yang mengatakan perkataan jalabib itu sebagai kain menutup muka, maka, mereka menetapkan hukum berpurdah itu wajib iaitu mesti dipakai oleh wanita. Manakala ulama’ yang menafsirkan perkataan jalabib dalam al-Qur’an itu hanya tudung yang menutup leher dan kepala berpendapat bahawa wajib bagi wanita menutup kepala dan leher serta tidak wajib menutup muka. Maka, ulama’-ulama ini hanya menghukumkan purdah itu sebagai sunat sahaja atau dalam erti kata lain digalakkan. Tapi, dalam keseluruhan al-Qur’an tidak ada yang menghukum haram memakai purdah bagi wanita kecuali ketika solat dan ihram. Ini dua termasuk dalam soal ta’abbudi. Hanya dalam dua keadaan ini sahaja kaum wanita diharamkan dari berpurdah.”

Rozita diam sebentar. Dikeluarkannya sebuah artikel tentang purdah lantas diberikannya kepada Sumayyah. “ Enti kena tengok ni, entah-entah purdah ni bukan ajaran Islam, ia cuma tradisi sahaja”

Sumayyah menyambut artikel itu dan mengangguk. Sumayyah lantas mengembalikan pada Rozita.

Sumayyah bertanya lagi “ Ana dah baca artikel ni. Enti nak berhujah menggunakan artikel ni? Silakan. Purdah mungkin tradisi, tapi hukum bahawa wajah dan tangan adalah aurat wanita yang perlu ditutup bukan tradisi, ia hukum yang jelas dalam tafsiran beberapa ulama’ tentang ayat dalam surah al-Ahzab,”

Rozita mengeluh. Terasa perbuatannya bagai memalukan diri sendiri memandangkan sahabatnya Sumayyah telah sekian lama mengkaji tentang purdah.

“ Enti bagitau ana apa hujah penulis terhadap purdah”

“ Su, enti kena terima hakikat. Purdah ni cuma pakaian tradisional Arab sahaja. Kita bukan orang Arab, Su. Kita bukan di zaman Nabi, dan kita, kita bukan isteri Nabi yang mulia, bukan ummahatul mukminin,”

Hati Sumayyah berdetak. Dia diam sebentar. Sumayyah menahan sebak. Dia kecewa dengan kejahilan masyarakat tapi, tiada istilah putus asa dalam menyampaikan ilmu baginya kerana itulah lumrah pendakwah. Sumayyah cuba mengangkat muka.

Rozita diam. Baginya jelas apa yang diperkatakan.
SUMBER nya di sini (:

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...